Sumber: Akhbar Sinar Harian online

Sekadar gambar hiasan
KOTA BHARU - Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) fokus kempen ‘Say No To Zina’ kepada golongan sasar bagi mengekang peningkatan bilangan kelahiran anak luar nikah di negara ini.

Timbalan Pengerusi I-Medik, Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin berkata, ia peranan kecil pihaknya dalam usaha membantu generasi muda agar tidak terjerumus dalam aktiviti tidak bermoral.

Menurutnya, kempen yang telah diperjuangkan hampir empat tahun itu sering menyasarkan sekolah menengah bagi mendekati golongan muda.

“Pengisian kita buat dalam bentuk ceramah dan latihan dalam kumpulan supaya mereka beri tumpuan lebih kepada akademik, kokurikulum serta fokus pada cita-cita.

“Mengikut rekod kita, pada 2006 hingga 2010, seramai 230,000 kelahiran anak luar nikah dicatatkan, hanya dalam tempoh empat tahun. Jumlah ini sangat ramai dan semua negeri tidak terkecuali,” katanya kepada Sinar Harian selepas menyampaikan bantuan hari raya kepada 300 keluarga daif dalam Dun Bunut Payong dengan kerjasama Yayasan Salam.

Turut hadir, Pengerusi Kesejahteraan Rakyat, Kesihatan, Alam Sekitar dan Badan Bukan Kerajaan, yang juga Adun Bunut Payong, Dr Ramli Mamat dan Timbalan Pengerusi Yayasan Ikhlas, Zaim Shaari.

Zainur Rashid berkata, keberkesanan kempen tersebut mungkin boleh diukur dalam tempoh jangka masa panjang berikutan ia memerlukan sokongan ramai pihak.

“Ini kerana, kelahiran anak luar nikah makin ramai di seluruh negara. Ini bukan usaha satu atau dua badan bukan kerajaan (NGO), sebaliknya membabitkan parlimen dan kementerian berkaitan.

“Lihat sahaja contoh pengguguran janin pada 2008 mencatatkan 96,000 kes. Purata sehari lebih 270 kes. Mungkin sekarang angka tersebut sudah lebih. Ia isu besar negara yang perlu ditangani bersama,” katanya.

Mengulas mengenai program tersebut, Zainur Rashid berkata, sumbangan tersebut adalah rentetan daripada misi kemanusiaan sebelum ini ketika Kelantan dilanda bah besar.

“Ia kesinambungan bantuan dalam tempoh banjir ke pasca banjir dan menjelang hari raya. Sebelum ini I-Medik hantar 17 kumpulan terdiri daripada doktor ke Manek Urai, Gua Musang, Kota Bharu dan Tanah Merah, selain menyumbangkan RM200,000 dalam bentuk ubat-ubatan.

“Ahli kita terdiri daripada doktor, pegawai sains, farmasi dan jururawat yang sentiasa bersedia memberi khidmat secara sukarela, malah kita pernah hantar doktor pakar ke Gaza, Palestin untuk misi kemanusiaan pada 2012, 2010 dan tahun lalu,” katanya.

0 comments