Showing posts with label Bankrap. Show all posts
Showing posts with label Bankrap. Show all posts

Bgaimana kita tertipu dgn skim cepat kaya? Ini contohnya.

Fahami baik-baik. Ilmu ini perlu kita tahu agar ianya tidak berlaku untuk kedua kalinya atau terjebak dgn para suspek penipuan mana2 skim cepat kaya...

1. Saya mempunyai modal cash sebanyak RM100,000.
Saya buka satu syarikat/skim yg ada tawar 3 pakej pelaburan kepada org ramai:
A. Gold - RM400
B. Platinium - RM4,000
C. Diamond - RM40,000

2. Untuk early stage bukan mudah untuk menarik pelabur, stage pertama adalah strategy untuk menjadi 'trusted'. Pada permulaan ramai orang ragu2 dan takut ditipu tapi nak tahu. Kebanyakan org ramai yang suka mencuba akan letakkan pakej yg paling minima iaitu Gold - RM400.

Pakej Gold ini dijanjikan akan dibayar RM100 sebulan selama 3 bulan,
dan pelaburan ini akan matang pada bulan ke-4, dan mereka mempunyai pilihan untuk mendapat RM800 (keuntungan) dan pakej akan segera ditamatkan. Contohnya 1000 org masuk,
total collection yg saya dapat adalah sebanyak RM400,000.Duit ini cukup digunakan untuk membayar habuan bulanan pelabur selama 4 bulan.

Duit modal Saya RM100,000 digunakan utk membayar sebahagian kecil mereka yang stop pada bulan ke 4. Kalau 100 org stop saya kena keluar RM800 x 100 = RM80,000. Apa ada hal keluar sikit modal saya, janji saya dapatkan trusted mereka.
Tengok nanti bagaimana saya ‘makan' duit mereka balik.

3. Psikologi emosi dimainkan waktu ini dimana pelabur akan menjadi tamak sebab dengan hanya menunggu lagi 5 bulan mereka akan mendapat RM3600 disamping RM100 bulanan. Kebanyakan mereka tidak akan stop pada bulan ke 4 tersebut kerana mereka menanti habuan yang lebih lumayan di hadapan. Maka mereka mengambil pilihan teruskan habuan bulanan RM100.

4. Pada bulan keempat tersebut pelabur2 sudah termakan 'trusted' dgn dana tersebut disamping sebahagian kecil yang stop dan dapat RM800 tersebut menjadi bukti kononnya skim itu adalah sangat 'trusted'.

5. Waktu ini kepercayaan terhadap skim ini akan menebal. Maka berbondong-bondonglah diajak keluarga, rakan office,
sahabat handai, oang kampung melabur bersama kerana taksub dgn keyakinan tersebut.Diajak joint venture, kumpul modal ramai-ramai dan melabur.

6. Make it short. Contoh 1000 org tadi yg sangat yakin dan dipukau dengan 'Trusted Scheme' upgrade kepada pakej Diamond - RM40,000. Duit tu mungkin dari joint venture, kumpul duit orang,
personal loan, jual harta, pinjam 'Along'. RM40,000 x 1000 = RM40,000,000.

7. Senangnya saya nak dapatkan RM40,000,000 (Rm40 juta!) dgn hanya membayar nilai lakonan 'Trusted'. Bila dah dapat duit, masa ni saya dah boleh istihar macam2 kepada pelabur2 saya.
Paling senang kena rompak, kena tipu atau pecah amanah (tuduh sesiapa dalam syarikat dan jadikan kambing hitam).

Dan saya tak mampu pulangkan modal pelaburan tersebut kepada pelabur2.
Utk meredakan amarah pelabur saya,
Saya minta tempoh 6 bulan utk selesaikan & recovery, cukup 6 bulan Saya minta extent Lagi 6 bulan. Lama kelamaan mereka putus harap dan pasrah duit mereka telah hangus (disini saya akan mainkan sentimen agama sikit spt rezeki itu Allah yg tentukan). Mereka akan lupa hari demi hari.

Jika anda rasa penulisan ini memberi kesedaran dan manfaat kpd anda,
haruslah di “kongsikan” bersama orang lain agar ianya tersebar luas dan dapat manfaat bersama.

Hati2 di luar sana yang gemar skim cepat kaya macam ini. Sayangilah duit anda.

Artikel oleh: 1 Suara Sabah

Astro Awani |Oktober 06, 2013
KUALA LUMPUR: Sebuah portal popular, Jalopnik, menyenaraikan Malaysia sebagai negara kedua paling mahal untuk membeli kereta, di belakang Singapura dalam artikel bertajuk 10 Tempat Paling Mahal Untuk Beli Kereta (The 10 Most Expensive Places To Buy A Car).


Artikel yang diterbitkan pada bulan lepas, memuatkan keluhan rakyat Malaysia mengenai isu harga kereta terutama dikalangan rakyat biasa.

Kini, dengan harga minyak yang meningkat, isu tersebut kembali mendapat perhatian.

Satu kajiselidik di laman web pengeluar kereta terkemuka mendedahkan bahawa rakyat Malaysia membayar sehingga dua kali apa yang pengguna Amerika bayar untuk kereta yang sama di Amerika.

Malah, di kalangan rakan-rakan mereka di Asean, terutamanya Thailand, harga kereta di Malaysia adalah tinggi.

Pinjaman kereta di negara ini boleh dibuat sehingga sembilan tahun. Satu tempoh yang membolehkan memiliki kereta dengan lebih murah, tetapi dalam masa sama ia juga membawa kepada hutang isi rumah yang lebih tinggi.

Laporan yang dikeluarkan oleh Maybank Investment Bank Research pada akhir Mei lepas menyatakan pinjaman kenderaan menyumbang sehingga 18 peratus daripada jumlah hutang isi rumah.

Ketika menlancarkan Manifesto Barisan Nasional (BN) bertajuk 'Menepati Janji Membawa Harapan' April lalu, pengerusinya, Datuk Seri Najib Tun Razak berjanji untuk menyemak semula Dasar Automotif Nasional bagi mengurangkan harga kereta secara berperingkat antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh lima tahun serta meningkatkan daya saing kereta nasional.

Presiden Persatuan Automotif Malaysia (MAA) Datuk Aishah Ahmad berkata pihaknya telah mencadangkan banyak kali kepada kerajaan supaya duti diturunkan secara beransur-ansur bagi mengurangkan beban pemilikan kenderaan kepada pengguna biasa.

"Kami merasakan dengan kos pemilikan kenderaan yang lebih rendah, pengguna akan mempunyai pendapatan boleh guna tambahan untuk berbelanja pada barang-barang lain, yang akan memberi manfaat kepada ekonomi negara.

"Kami, bagaimanapun, ambil perhatian bahawa kos penyelenggaraan kenderaan di Malaysia masih kompetitif berbanding

dengan negara-negara Asean yang lain, dengan subsidi bahan api dan cukai jalan yang lebih rendah," katanya.

Ketua Pegawai Esekutif Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj yang berpendapat ini adalah masa yang terbaik untuk kerajaan menurunkan harga kereta terutamanya selepas pengurangan subsidi petrol baru-baru ini.

"Kita ingin memulakan merasionalkan subsidi dan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST). Kita ingin memaklumkan harga pasaran menentukan harga petrol, tetapi pada masa yang sama kita tidak mahu menjual kereta pada harga yang ditentukan oleh pasaran.

"Pada masa lalu , kita bersetuju dengan dasar perlindungan tetapi berapa lama ia akan bertahan? Kita perlu untuk meliberalisasikan harga," kata Selvaraj seperti dilaporkan akhbar New Sunday Times.

Selvaraj berkata di negara-negara maju walaupun harga kereta lebih murah berbanding dengan Malaysia. "Jepun dan United Kingdom mempunyai kereta lebih murah daripada kita. Kenapa kita mesti membayar lebih untuk kereta kita? "

Ketua Ekonomi Kumpulan di Ratings Agency Malaysia Berhad, Dr Yeah Kim Leng, bersetuju dengan pandangan bahawa harga kereta perlu diturunkan.

Dr Yeah berkata kereta adalah salah satu daripada dua perkara. selain rumah, yang mana Rakyat Malaysia perlu membayar lebih, dan keduanya mengambil sebahagian daripada pendapatan boleh guna rakyat Malaysia.

"Ini adalah faktor utama yang menyumbang kepada tahap hutang isi rumah yang tinggi ," kata Yeah.


Yeah berkata dalam suasana kos bahan api yang semakin meningkat, mengurangkan harga kereta akan membuat ia lebih mampu dimilik oleh rakyat Malaysia.

"Jika anda mahu untuk mengurangkan kos keseluruhan hidup, salah satu cara adalah dengan menurunkan harga kereta. Ia akan meningkatkan kebajikan pengguna apabila harga kereta dan rumah yang lebih murah, yang merupakan dua perkara besar dalam bajet isi rumah.

Katanya, pada awal 1980an, ketika baru memulakan industri kereta, kerajaan mempunyai dasar melindungi kereta nasional dengan menaikan cukai kereta import.

Namun kata Dr Yeah, perlindungan seperti itu sudah tidak lagi sesuai untuk terus dilaksanakan.

Pandangan berbeza diberikan oleh Pengarang majalah automatif Top Gear Malaysia, Hazeri Samsuri yang berkata rakyat Malaysia lebih suka mengkritik kerajaan berkenaan harga kereta tetapi tidak melakukan perkara yang sama terhadap pengeluar kereta.

"Kereta di Asean adalah lebih mahal daripada di Eropah dan Amerika. Alasan yang sering diberikan adalah jumlah; Asean adalah satu pasaran baru muncul.

"Kereta juga dianggap barangan mewah di negara-negara dan pengguna sanggup membayar 'jenama premium'," kata Hazeri.

Menurut Hazeri, harga kereta tetap mahal tetap akan mahal biarpun cukai dikurangkan.

Bagi Ketua Esekutif Institut Automotif Malaysia, M.Madani pula menegaskan harga kereta di Malaysia adalah antara yang berdaya saing di rantau ini.

Madani juga menjelaskan bahawa tidak ada hubungan langsung antara Keluaran Dalam negara Kasar (KDNK) dan harga kereta.

Katanya, harga kereta bergantung kepada kuasa pasaran dan struktur cukai negara.

"Walaupun kebanyakan orang cenderung untuk melihat struktur cukai sebagai penentu dominan harga kereta, ini tidak semestinya benar. Kita ambil Thailand dan Indonesia sebagai contoh. Kedua-dua negara mempunyai cukai yang agak sama dan ini adalah benar terutamanya untuk kereta yang lebih rendah segmen di bawah 1,500 cc.

"Walau bagaimanapun, harga di Thailand jauh lebih rendah daripada Indonesia. Malah, harga kereta di Indonesia adalah agak setanding dengan orang-orang di Malaysia. Walaupun begitu, terdapat persepsi umum bahawa struktur cukai di Malaysia adalah antara yang tertinggi di rantau ini," kata Madani.

Kata Madani, untuk mengurangkan harga kereta, kerajaan perlu mengambil kira banyak faktor termasuk impak semasa ke atas pemilik kereta, industri kereta terpakai, institusi kewangan, kesediaan infrastruktur dan kesediaan seperti sama ada infrastruktur sedia ada adalah mencukupi untuk menanggung lebih banyak kereta di jalan raya, dan lain-lain


PADA 5 JULAI 2013, Bank Negara menguatkuasakan peraturan baru menghadkan: (i) pinjaman peribadi setakat 10 tahun maksimum (dahulu 25 tahun); pinjaman hartanah dan rumah 35 tahun (dahulu 45 tahun), dan (iii) tidak membenarkan lagi pinjaman pra kelayakan.

Alasan yang diberikan Bank Negara adalah untuk menangani kenaikan hutang isirumah yang meningkat dari RM465.2 bilion pada tahun 2008 kepada RM754.6 bilion pada pertengahan tahun 2013. Dengan harga rumah mahal, harga kereta mahal dan kos hidup yang mahal, rakyat Malaysia adalah ‘juara’ dalam membuat hutang, iaitu hutang isirumah kita adalah 140% berbanding dengan pendapatan, Singapura 105%, Amerika 123%, Korea 101%, Thailand 53% dan Indonesia 38%. 

Akibat hutang yang banyak ini, kadar individu yang diisytiharkan bankrap pada tahun 2012 ialah 19,575 ataupun 53 orang sehari dalam setahun, di mana 50% adalah dari golongan berumur 25-44 tahun. Jumlah individu yang bankrap dari tahun 2007 sehingga 2013 adalah 245,000 orang yang mana faktor utamanya adalah disebabkan oleh kegagalan untuk membayar pinjaman (hutang). 

Persoalannya, kenapa hutang rakyat kita tinggi? Menurut data Bank Negara, 64% pinjaman yang dibuat oleh isirumah adalah dari pinjaman perumahan dan kereta sahaja. Pinjaman peribadi jatuh ke tempat ketiga paling banyak. 

Pertanyaannya, mengapa harga rumah mahal sehingga boleh membuatkan kita terhutang sampai ke tua? Bila rakyat bertanya hal ini, jawapan pemaju mudah sahaja, iaitu kerana barang kos pembinaan seperti simen, pasir, batu-bata dan seribu satu macam perkara lain lagi naik harga. Bagi ahli ekonomi, mereka menjawab kerana permintaan melebihi penawaran. 

Saya pun hairan kenapa kerajaan tidak boleh mengawal harga rumah ini? Apakah payahnya sangat untuk kerajaan menetapkan harga rumah mampu milik kepada rakyat, iaitu rumah yang boleh dibeli oleh golongan berpendapatan sederhana yang harganya dalam lingkungan RM100-RM200 ribu sahaja.

Ini kerana saya lihat harga rumah yang ditetapkan oleh pemaju sekarang sudah di luar dari istilah rumah mampu bilik. Bayangkan bagaimana seorang yang baru bekerja boleh memiliki rumah jika harga rumah dua tingkat di Bandar Baru Bangi dengan keluasan 20”X70” pun sudah mencecah RM500 ribu. Bayangkan harga rumah kondominium di Bangsar yang seluas 2,000 kaki (185 meter) persegi dijual pada harga RM2.4 juta seunit dan harga sebuah rumah semi-D di Sri Hartamas berharga RM1.5 juta. Siapakah yang mampu membelinya?

Bayangkan pula kalau ada hutang kereta, anak kecil 3 orang, kena beli lampin anak, bayar orang gaji, kad kredit, pakaian, persekolahan, minyak kereta dll, maka apa lagi yang tinggal? Bagaimana mungkin mampu untuk membeli rumah semahal ini jika pendapatan suami isteri hanya RM5 ribu sebulan sahaja dengan bayaran yang ditetapkan dalam masa 35 tahun. Jika suami isteri berpandapatan RM5 ribu pun tidak mampu, bagaimana bagi mereka yang berpendapatan lebih rendah dari itu?

Saya cukup risau dengan harga rumah yang tidak terkawal dan over priced ini. Sekarang ini pun dengan gaji RM6 ribu sebulan, belum tentu dapat membeli rumah yang berharga RM400 ribu. Andaikan si pembeli meminjam RM400 ribu sahaja daripada bank dengan purata kadar faedah enam peratus setahun, peminjam perlu membayar ansuran bulanan sebanyak kira-kira RM2,400 selama 30 tahun. Ini bermakna peminjam yang membeli rumah teres pada usia 30 tahun hanya akan habis membayar hutang pada usia 60 tahun. Persoalannya, berapa ramaikah rakyat kita memiliki pendapatan RM6 ribu sebulan sekarang?

Apabila melihat kepada masalah harga rumah yang semakin ‘tidak masuk akal’ sekarang ini, saya terpanggil untuk membincangkan masalah ini. Saya sedih melihat nasib rakyat yang terhimpit dengan masalah ini kerana biarpun sudah berumur 45 tahun dan berkelulusan universiti, sehingga sekarang pun masih ‘menyewa’ lagi. Itu belum lagi mengambil kira mereka yang bekerja di bawah dari tahap gaji pegawai yang berkelulusan universiti.

Atas masalah harga rumah yang tinggi ini, saya mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya mengambil tindakan berikut:

i. Turunkan kadar faedah daripada 4% kepada 2% sahaja untuk pinjaman kerajaan dan dari 6% kepada 3% sahaja untuk pinjaman bank bagi rumah pertama. Ambil perhatian kerajaan Kelantan tidak mengenakan faedah kepada kakitangan awamnya dan Public Bank hanya mengenakan kadar faedah sebanyak 1% sahaja kepada kakitangannya.

ii. Naikkan elaun perumahan untuk kumpulan sokongan dari RM180 sebulan kepada jumlah yang lebih wajar. Di Kuala Lumpur, sewa sebilik pun sudah RM250-500 sebulan. Bagi pekerja swasta pula, kerajaan perlu mewajibkan syarikat membayar elaun perumahan kepada pekerjanya campur dengan gaji minimum yang baru diwajibkan.

iii. Kerajaan sendiri membina lebih banyak rumah sesuai dengan permintaan dengan tidak lagi menyerahkannya kepada pemaju swasta. Sekiranya syarikat swasta mahu juga membinanya, kerajaan perlu meminda akta supaya segala pembangunan perumahan yang dilakukan oleh syarikat swasta hendaklah mengikut syarat-syarat ketat harga yang ditetapkan kerajaan supaya harga menjadi terkawal dan tidak lagi melampau.

iv. Menteri Perumahan yang baru sepatutnya merangka mekanisme untuk menurunkan harga rumah sama ada dengan mengurangkan kos pembinaan dan lain-lain tindakan yang wajar.

v. Jika harga rumah mahal disebabkan oleh harga tanah, maka kerajaan hendaklah menetapkan harga siling bagi setiap kaki persegi tanah kerana tanah adalah milik kerajaan yang boleh dikawal.

vi. Jika harga tanah di bandar mahal untuk membangunkan perumahan, maka binalah apartment ‘layak duduk’ yang sesuai untuk golongan berpendapatan rendah. Mereka tetap perlu disediakan rumah kerana itu adalah keperluan asas manusia yang perlu disediakan oleh kerajaan untuk rakyatnya. Jangan pula cari alasan ‘kalau ayam mahal jangan makan ayam’, atau ‘kalau rumah di bandar, mahal sewa atau belilah rumah di kampung’. 

Saya yakin jika kerajaan boleh membuat pelbagai program seperti Hari Sukan, Hari Wanita dan Hari Belia dengan kos yang berjuta, tentunya tidak sukar bagi kerajaan untuk mengambil langkah lebih adil bagi menyediakan perumahan kepada rakyat ini.

Mengingatkan tentang hutang rakyat kita yang terlalu tinggi dan ramai lagi dari kalangan mereka yang masih belum mempunyai rumah sendiri, hati saya mengeluh. Semoganya tidak lagi selepas ini.