Showing posts with label PATI. Show all posts
Showing posts with label PATI. Show all posts

Oleh MOHD. YUNUS YAKKUB
yunus.yakkub@kosmo.com.my

KOTA KINABALU - Kegiatan penjualan rokok haram dan tiruan di bandar raya ini semakin berleluasa sehingga mencetuskan rasa kurang senang orang ramai.

Dengan menjadikan kawasan perhentian bas, kaki lima dan jalan sebagai lokasi berniaga, peniaga rokok tiruan yang terdiri daripada kanak-kanak dan golongan wanita licik mencari pelanggan mereka malah tinjauan Kosmo! turut mendapati, kebanyakan daripada peniaga itu terdiri daripada warga asing dan mereka berniaga seawal pukul 6 pagi hingga larut malam.



Seorang penjual kanak-kanak berusia 12 tahun dikenali Azim mengaku menjual rokok haram dan tiruan sejak dua tahun lalu.
Katanya, hasil jualan sehari adalah antara RM50 hingga RM100 dan jumlah itu akan bertambah pada hujung minggu.

"Dalam sehari, boleh dapat untung RM30 dan ia sudah cukup besar memandangkan perniagaan ini banyak persaingan," katanya yang turut mengaku tidak pernah bersekolah.

Jelas Azim, rokok berjenama yang biasanya dijual pada harga RM10 sekotak boleh dibeli dengan harga RM2 hingga RM4 sahaja.
Selain itu, turut dijual pelbagai rokok keretek yang diseludup dari Indonesia.

Apa yang pasti, modus operandi kumpulan itu cukup licik iaitu menyembunyikan semua rokok tersebut di sebalik pintu, tangga, bawah kereta dan belukar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Paling penting, kumpulan itu juga mempunyai seorang 'mata-mata' yang bertindak mengesan kehadiran pihak berkuasa.- KOSMO


Hari tu "Mereka" Berjanji akan menjalankan OPERASI BESAR-BESARAN SELEPAS RAYA. Tapi bila Lihat Sekeliling MASIH LAGI BANYAK PTI BERKELIARAN DI SABAH. 

Dan ada muka PTI yang sama mejual rokok seludup di pekan/bandar. PENDATANG HARAM (PTI) ini KEBAL daripada di TANGKAP ? Atau PTI yang kita nampak ini sudah mendapat Projek IC ?



Gambar: 1 Suara Sabah


Masih ada lagi rakyat Sabahan Mempertahankan Pendatang HARAM.. Kononnya Kalau tiada PTI, Bangunan tidak akan berdiri di SABAH.. Habis itu Adakah adil kepada Majikan/pekerja asing yang membayar Permit/Passport .. Sedangkan Ramai PTI yang Masuk secara haram di sabah ?

Bangla/nepal/pakistan/indonesia /dll bekerja buruh binaan di semenanjung yang tidak mempunyai passport akan di hantar balik walaupun sebenarnya khidmat mereka sangat di perlukan.. TAPI kenapa di SABAH pula di biarkan ? adakah SABAH juga memerlukan Khidmat penjual rokok Haram? Tidak Salah mencari rezeki di Sabah asalkan berlandaskan Jalan yang betul..




   Berita terbaru dari Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pendatang haram di Sabah. Seorang saksi dari etnik Sulu yang menggunakan nama "No Name" dalam sijil lahirnya selama hampir 40 tahun. Mahat Haji Ismail, 65, berkata sijil lahirnya dikeluarkan pada 1948 dan bapanya tidak sempat untuk menguruskan pertukaran nama disebabkan kesibukan tugas di Hospital Tawau. "Bapa kerja di hospital ... sibuk tak sempat mahu uruskan, jadi surat beranak keluar nama 'No Name',"katanya kepada panel inkuiri di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini.Beliau menjelaskan, penukaran namanya hanya dibuat pada tahun 80an, dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kemudiannya membuat penukaran melalui satu cop pengesahan di belakang surat beranak beliau menggunakan namanya sekarang.

    Kes sepertinya bukan kes terpencil kerana terdapat banyak individu yang mempunyai nama "No Name".
Kenyataan itu turut disokong oleh panel inkuiri, Tan Sri Herman Luping yang turut mempunyai kenalan daripada ahli politik yang mempunyai sijil kelahiran dengan nama "No Name".

    "Masalah ini bukan perkara luar biasa, ia juga tidak hanya kepada masyarakat Sulu, tetapi juga terjadi  kepada suku kaum Kadazan. Saya kenal seorang pemimpin politik yang menukar namanya daripada 'No Name', dan juga seorang wanita yang menggunakan nama 'No Name' sepanjang hayatnya," kata Herman.

    Pegawai penyiasat inkuiri, Jamil Aripin kemudiannya membangkitkan kesukaran yang mungkin dihadapi individu seperti Mahat sekiranya kerajaan memutuskan untuk menarik balik kad pengenalan warga Sabah bagi mengenalpasti warga asing yang memperolehi kad pengenalan secara tidak sah ekoran perbezaan nama dalam sijil lahir, dan ada antara mereka yang tidak mempunyai sijil lahir. 

   Sebelum ini, saksi ke-169, Ismail Johari, 75, yang juga berketurunan Sulu turut tidak mempunyai sijil lahir kerana kelahirannya tidak didaftarkan. Ismail lahir sebelum Sabah menyertai Malaysia dan hanya mengetahui tarikh lahirnya ditandakan di atas bakul yang digunakan ibunya untuk ke pasar.

    "Ayah kata itu tarikh lahir saya ... Saya tiada daftar kelahiran," katanya yang juga berasal dari Tawau.
Sebelum ini terdapat beberapa badan bukan kerajaan dan pemimpin politik yang mempertikaikan nama "No Name" dalam daftar pemilih, dan mendakwa pengundi dengan nama berkenaan adalah pengundi hantu. Isu "Projek IC" yang didapati bermula lewat tahun 1970an juga telah mencetuskan kemarahan banyak pihak apabila pendatang asing dari Filipina, Indonesia dan Pakistan telah diberikan kad pengenalan bagi membolehkan mereka mengundi dalam pilihan raya umum. 

    RCI juga mendedahkan beberapa saksi yang mengakui menerima kad pengenalan yang sah melalui cara yang salah.

    Ismail yang merupakan generasi ketiga keluarganya di Sabah mengakui kepada panel yang diketuai bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong bahawa sekiranya kad pengenalan tidak dikeluarkan kepada warga asing, parti politik pembangkang akan menang di Sabah.

"Pemimpin-pemimpin (politik) ini kadang-kadang susah juga. Kalau tak pakai orang asing kita kalah, pembangkang menang," katanya lagi.

    Sementara itu saksi terakhir untuk sesi inkuiri kali ini, Juak Borneo, 61, yang dilahirkan di Semporna turut tidak mempunyai sijil lahir ekoran dilahirkan di atas bot. Ketua Kampung Bangau-Bangau dari etnik Bajau Laut itu turut mengakui masih ramai masyarakat Bajau Laut yang tidak memiliki dokumen kewarganegaraan ekoran akses yang terhad ekoran mereka menghabiskan hayat di laut.

    "Saya dilahirkan di atas perahu, sebelum ini tidak ada pengenalan diri ... hanya apabila JPN datang menaiki bot ke kampung kami baru kami mendaftar warganegara," katanya kepada panel inkuiri, dan menambah perkara itu dilakukan sekitar tahun 1960an. Beliau turut berkata, ekoran kesukaran itu, ramai anak-anak Bajau Laut tidak dapat bersekolah kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

    "Kami hidup pindah-randah di laut, ikut arah angin dan ombak, kadang-kadang angin tolak pergi pulau sini, buat pondok, nanti angin tolak pergi pulau lain," katanya.

    Daripada sekitar lebih 5,000 penduduk Bajau Laut di kampung berkenaan, Juak menganggarkan hanya sekitar 3,000 etniknya yang memiliki kad pengenalan merah.

    "Kalau kami pergi ke tanah beli barangan keperluan kami akan ditahan dan anak dan isteri akan menangis seolah-olah berlaku kematian," katanya menjelaskan, bagi masyarakat Bajau Laut, ditangkap pihak berkuasa adalah mimpi ngeri buat mereka.

    "Antara kami yang tidak memiliki dokumen itu merasakan kami warganegara, tetapi sebenarnya kami tidak memiliki sebarang pengenalan diri," tambahnya.

    Justeru beliau turut mengharapkan agar kerajaan mempertimbangkan tindakan yang sewajarnya diambil kerajaan bagi membolehkan etnik Bajau Laut ini diberikan kerakyatan.

    "Kerajaan perlu keluarkan (dokumen) walaupun berbentuk sepucuk surat sahaja, (mereka) wajar diberikan penentuan pengenalan diri supaya mereka boleh bergerak seiring dengan kehidupan org lain."